Minggu, 10 April 2011

Sinopsis filem Karak 2011 | Review Film Malaysia

Empat pelajar kolej yang menuju kembali ke Kuantan selepas bermalam di Kuala Lumpur terperangkap dalam kesesakan yang teruk sepanjang lebuh raya Karak. Disebabkan perlu menghadiri kuliah penting keesokan harinya, mereka membuat keputusan menggunakan jalan lama. Namun sebenarnya keputusan itu bakal menemukan mereka dengan suatu pengalaman baru.

Karak gabung kisah popular, kejadian sebenar

BUKAN mencedok bulat-bulat kisah dongeng, mitos mahu pun cerita daripada mulut ke mulut, sebaliknya Norman Abdul Halim menggarap skrip filem seram, Karak, dengan menyelitkan sama pengalaman sendiri yang pernah ‘terserempak’ dengan entiti halus itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studio itu mengakui dirinya bukan jenis mudah percaya terhadap perkara tahyul, namun selepas melihat sendiri suatu lembaga aneh ketika melalui sebuah lebuh raya, membuatkannya tersedar ada makhluk lain di muka bumi ini, selain manusia dan haiwan. Yakin kisah berkenaan sedikit sebanyak mengingatkan insan dan bukan sekadar memomokkan penonton, hasilnya KRU Studio menerbitkan filem kesembilan yang sarat adegan mendebarkan, gabungan mitos, kisah masyarakat serta kejadian depan mata.

“Cerita mengenai lebuh raya Karak yang dianggap ‘keras’ bukan perkara baru. Banyak versi kisah menyeramkan berlaku hingga kerap kali kemalangan maut dikatakan punya kaitan dengan lokasi terbabit. Antaranya, kisah kereta kuning yang mencari mangsa dan pelbagai lagi cerita paranormal lain. Selama ini pun sudah banyak kisah seram diangkat ke layar perak. Selain mempelbagaikan genre filem terbitan KRU Studios, kita yakin garapan kisah berlatarkan lebuh raya ini cukup dekat dengan penonton,” katanya pada majlis pelancaran filem berkenan di ibu kota, baru-baru ini.

Buah tangan keempat arahan Yusry Abdul Halim itu membariskan ramai bintang muda termasuk Shahir AF8, Shera Ayob, Along Eyzendy, Kilafairy selain Sidek Hussin dengan dijadualkan menemui penonton di pawagam bermula 26 Mei. Difahamkan, apabila trailer filem berkenaan dimuatkan dalam laman YouTube sejak sebulan lalu, seramai 110,000 orang sudah pun menonton klip promosi itu, yang memberikan petanda awal Karak juga bakal mendapat sambutan hangat peminat. Malah Norman mengakui pihaknya sudah menerima pelawaan menyertai festival filem di Jerman.

“Buat masa ini kita tumpukan dulu kepada tayangan di pawagam tempatan. Namun daripada sambutan, kita yakin ramai peminat tidak sabar mengikutinya dan bersempena kemunculan filem ini, kita turut mempromosikan lagu tema berjudul Kerek nyanyian Bandi Amuk,” katanya lagi.

Mengimbas kisah ‘penemuan’ entiti halus itu, ulasnya, ketika itu mereka tiga beradik termasuk Edry dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan tidak tahu di mana punca, mereka terlihat sesuatu menerpa ke cermin hadapan kereta.

“Biarpun sudah lama berlalu, saya masih ingat saat itu. Kami memandu untuk pulang ke rumah dan tentu terkejut apabila ada makhluk yang tidak diketahui jenisnya secara tiba-tiba ada di sebelah cermin kereta. Babak seumpama itu yang kami tonjolkan dalam Karak,” katanya.

Bagi Yusry, selaku pengarah, 20 hari penggambaran ialah waktu yang singkat, tetapi disebabkan sebahagian babak banyak dibantu mainan di studio mereka yang sudah dipertingkatkan sistemnya serta penggunaan imejan janaan komputer (CGI), membuatkan tempoh penggambaran agak pendek.

“Kami bertuah kerana bekerja dengan pelakon yang faham watak masing-masing. Biarpun masih baru, mereka yang didedahkan dengan bengkel lakonan selama dua minggu, bijak mengadun karakter masing-masing. Begitupun kecanggihan studio kami turut membantu.

“Dari segi teknik arahan mungkin tidak jauh berbeza antara filem terdahulu dengan Karak, cuma barangkali penggambaran hanya berlangsung pada waktu malam membuatkan setiap pelakon dan kru seakan melawan masa. Syukur ia dapat disiapkan seperti dirancang,” katanya mengenai filem yang mengambil Hulu Langat sebagai lokasi.

Supaya tidak tersasar daripada landasan, mereka mendapatkan nasihat daripada mereka yang punya pengetahuan termasuk pakar agama yang terdiri daripada penceramah bebas selain pakar dialek Orang Asli kerana filem itu turut memaparkan perkampungan mereka.

Shahir sukar jayakan babak menangis

SEMENTARA itu, bintang kelahiran Akademi Fantasia, Shahir mengakui buat kali pertama beraksi di layar perak pengalaman yang terlalu asing malah dirinya masih perlu banyak belajar terutama mempertajamkan skil dan teknik lakonan.

“Sebelum beraksi, kami lebih dulu masuk kelas. Membaca skrip seterusnya menjiwai watak. Dalam filem ini saya memegang watak Nik, anak muda yang taksub terhadap perkara berkaitan kejadian paranormal. Nampak mudah tetapi agak mencabar. Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka mampu menjiwai watak ini kerana ketika mula-mula di set, saya agak gugup dan malu. Lama-kelamaan, hasil bimbingan semua terutama Yusry, saya mampu menggalas tugas ini. Menjadi atau tidak, saya serahkan pada penonton untuk menilainya,” katanya.

Baru saja menjulang trofi Artis Baru Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, katanya paling sukar tentu saja babak menangis kerana sebagai lelaki tentu ia antara ego yang tidak mungkin ditonjolkan kepada orang lain. Bagi anak gadis Rohana Jalil, Kilafairy yang tidak sabar menunggu tayangan Karak, sekali pun filem itu dipenuhi babak menyeramkan dirinya tidak pernah berdepan kejadian pelik atau menakutkan sepanjang menjalani penggambaran.

“Sememangnya ini percaturan pertama saya di bidang seni kerana sejujurnya saya lebih suka menyanyi. Cuma, apabila sudah mula berjinak-jinak dengan lakonan, perasaan rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran amat kuat kerana kami sudah macam satu keluarga besar. Saya juga memang jenis penakut, tetapi syukur tiada kejadian buruk berlaku. Cuma saya harap penonton tidak menyamakan saya dengan karektor Ida yang saya bawakan dalam filem ini kerana dia digambarkan gadis bandar yang terlampau obses pada kecantikan diri, hingga tidak boleh calar sedikit pun. Boleh dikatakan dia mengada-ngada,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online – Edited by wowberita.com



0 komentar:

Posting Komentar